Wednesday, May 11, 2011

Pantau Pengajaran Bahasa Inggeris

Oleh AMRAN MULUP
pengarang@utusan.com.my

MELAKA 25 Okt. - Kementerian Pelajaran akan mengambil seramai 370 pakar bahasa Inggeris dari luar negara mulai tahun depan untuk memantau pengajaran bahasa itu di sekolah rendah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengambilan pakar-pakar tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengambilan pakar-pakar itu amat penting memandangkan usaha untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar agak mencabar.

"Kerajaan tidak bimbang untuk memartabatkan Bahasa Melayu memandangkan sebahagian besar guru yang sedang berkhidmat adalah terlatih.

"Apa yang agak mencabar ialah untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris walaupun kita mempunyai jumlah bakal guru yang ramai di Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog program Titipan Naluri bersama guru-guru pelatih dari IPG Melaka, Johor dan Negeri Sembilan di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka di sini hari ini.

Sesi dialog itu diadakan selepas Muhyiddin merasmikan Pusat Serantau Bagi Pendidikan Khas (SEAMEO SEN) dan bangunan tambahan IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka bernilai RM50 juta.

MBMMBI diperkenalkan oleh kerajaan bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan pada 2012.

PPSMI didapati gagal mencapai matlamat penguasaan bahasa Inggeris hingga menjejaskan pencapaian pelajar dari luar bandar dalam kedua-dua subjek tersebut.

Bagi tujuan tersebut kata Muhyiddin, penguasaan bahasa Inggeris kepada kira-kira 34,512 guru pelatih di 27 IPG di seluruh negara akan dipertingkatkan untuk pengajaran bahasa itu.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi guru pelatih yang menamatkan pengajian kerana apabila keluar nanti mereka tidak akan menghadapi masalah apabila mengajar.

"Bagi guru-guru yang sedang berkhidmat pula, mereka akan menjalani beberapa kursus khas untuk menguasai bahasa Inggeris.

"Kursus-kursus yang diadakan ini tidak akan menjejaskan pengajaran di sekolah kerana mereka akan mengikutinya sewaktu cuti sekolah," ujarnya.

Dalam perkembangan lain Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran akan mengambil langkah perlu untuk menyeimbangkan guru lelaki dan wanita.

Menurut beliau, daripada 34,512 guru pelatih di 27 buah IPG di seluruh negara, terdapat 22,805 guru pelatih wanita dan 11,707 guru pelatih lelaki.

"Jumlah ini tidak seimbang dan untuk jangka panjang kita perlu berikan tumpuan supaya guru pelatih lelaki sama jumlahnya dengan guru pelatih wanita," ujarnya.

Beliau menambah, setakat ini terdapat kira-kira 80,000 permohonan untuk menjadi guru dan menunggu untuk sesi kemasukan baru ke IPG di seluruh negara.


No comments:

Post a Comment