Monday, May 2, 2011

Memupuk Minat Kanak-kanak Belajar Bahasa Inggeris

Oleh Mohd Al Qayum Azizi
Mingguan MStar, Ahad 20 Mac 2011

source: sxc.hu

Hasrat untuk melihat kanak-kanak di usia awal mampu menguasai bahan bacaan dalam bahasa Inggeris terutamanya kanak-kanak kurang bernasib baik mendorong Pengarah Urusan Jamu Mak Dara, Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali terpanggil untuk membantu mereka.

Mendapat peluang bekerjasama dengan Ayu Manja Sdn Bhd, sebuah syarikat yang khusus kepada pendidikan awal kanak-kanak, usaha tersebut bertujuan untuk memastikan kanak-kanak kurang bernasib baik di 18 buah rumah kebajikan di seluruh negara mendapat peluang dan ruang untuk memperolehi ilmu pengetahuan bagi mencerahkan masa depan mereka.

Program "Hooked On Books" ini juga adalah sebagai salah satu projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kedua-dua syarikat yang mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam memilih rumah kebajikan untuk program itu.

Syed Muhammad Gadaffi yang ditemui pada majlis penyampaian bantuan buku bahasa Inggeris dan alat bantuan pembelajaran di Hotel Royale Bintang baru-baru ini berkata, pihaknya menyambut baik pelawaan syarikat Ayu Manja yang hadir dengan idea itu dan bersetuju untuk membiayai program itu kerana ingin melihat kanak-kanak yang kurang bernasib baik mendapat peluang sama seperti kanak-kanak lain.

"Saya sendiri pernah hidup susah dan hanya bergantung kepada pembelajaran di sekolah. Jadi saya ingin memberi sesuatu kepada kanak-kanak ini supaya mereka boleh memperkembangkan kebolehan mereka dalam menguasai bahasa Inggeris," katanya yang turut menyerahkan replika cek berjumlah RM80,000 kepada pihak Ayu Manja bagi menjayakan program itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ayu Manja, Datin Radziah M Daud berkata, pihaknya akan memberi fokus kepada program literasi dari usia 0-9 tahun dan percaya kanak-kanak yang dididik sedari awal berupaya mencapai potensi dalam hidup mereka.

Selain itu juga katanya, pihaknya akan memberikan latihan kepada tenaga kerja dan pengendali rumah kebajikan serta memantau kemajuan program ini dari semasa ke semasa.

"Pihak JKM yang mengendalikan rumah kebajikan dan perlindungan telah memberikan asas kepada pembentukan kanak-kanak ini. Tetapi dengan keupayaan yang kami ada, pendedahan yang lebih akan diberikan kepada mereka melalui program ini."

"InsyaAllah dengan pengalaman selama 26 tahun dalam pendidikan awal kanak-kanak, kami percaya dapat memupuk minat kanak-kanak ini melalui kaedah yang betul seterusnya mencapai matlamat program," katanya.

Radziah juga berharap akan ada lebih ramai syarikat korporat menyertai program ini pada masa akan datang bagi memberi sinar kepada lebih ramai kanak-kanak untuk mencapai potensi diri selain menekankan aspek pembelajaran bahasa dalam diri mereka.

Bagi pihak yang berminat untuk menyertai program ini, boleh menghubungi Ayu Manja di talian 03-7728 4070 atau email di ayumanja@tm.net.my.

No comments:

Post a Comment