Showing posts with label pendidikan awal kanak-kanak. Show all posts
Showing posts with label pendidikan awal kanak-kanak. Show all posts

Saturday, June 18, 2011

Si Manja Mula Belajar

Kanak-kanak akan mula menjelajah dunia pada peringkat awal dalam hidup mereka. Secara intuitif, mereka akan tahu untuk mengambil objek yang paling kecil atau membuat pemerhatian dan menukarnya kepada suatu pengalaman yang bermakna.

Kanak-kanak kecil akan melalui suatu fasa di mana mereka akan banyak bertanya. Mereka ingin mengetahui ‘siapa, apa, mana, bila, bagaimana dan mengapa’. Contohnya, bagaimana ayam berketak atau mengapa langit berwarna biru?

Pertanyaan yang tidak berhenti-henti ini mungkin akan menjengkelkan tetapi mereka melakukannya kerana ingin belajar. Ini adalah sebahagian penting di dalam proses pembelajaran mereka.

Prasekolah yang biasanya bermula apabila kanak-kanak berusia 4 tahun berperanan membantu untuk terus memperkukuh dan menghalusi perkembangan awal dan pengalaman pembelajaran mereka. Sebagai contoh, dengan mewarna dan melukis, kanak-kanak akan belajar menguasai otot otot jari dan koordinasi tangan-mata mereka. Menerusi bermain bersama kanak-kanak lain dan mematuhi peraturan-peraturan bilik darjah pula, mereka belajar tentang kemahiran sosial. Dan sudah tentunya terdapat pelbagai pengajaran lain untuk perkembangan pemikiran, komunikasi dan kemahiran penyelesaian masalah.

Semua ini akan dicapai dengan keseronokan tetapi di dalam persekitaran prasekolah yang berstruktur. Walau bagaimanapun, masih terdapat banyak ruang bagi ibu bapa untuk mengoptimum kemajuan anak-anak mereka dengan terus mengajar, mementor dan melatih mereka di rumah dengan cara yang bebas tekanan, menyeronokkan dan bersesuaian dengan usia mereka.

Dimensi Pembelajaran Awal

Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak di prasekolah adalah penting untuk menyediakan asas yang baik, bukan sahaja untuk persekolahan formal malah untuk pembelajaran sepanjang hayat.

Kemahiran Fizikal
Prasekolah membantu kanak-kanak menguasai kemahiran motor halus dan motor kasar. Kemahiran motor halus membabitkan pergerakan kecil seperti mencapai sesuatu dengan ibu jari dan jari telunjuk. Aktiviti yang mengasah kemahiran motor halus membabitkan aktiviti memotong, menampal dan melukis. Kemahiran motor kasar pula diasah dengan aktiviti yang membabitkan pergerakan lebih besar seperti berlari, melontar, memanjat dan menari.

Kemahiran Intelektual
Terdapat banyak peluang untuk si manja membina kemahiran seperti mengira, mengukur, menyisih, memadan, memerhati dan membentuk hipotesis. Kemahiran membaca dan menulis berputik apabila si manja melihat buku, membaca dengan kuat dan menulis nota.

Kemahiran Sosio-emosi

Prasekolah membantu kanak-kanak menyesuaikan diri dalam komuniti dan belajar menghormati diri sendiri dan juga orang lain. Mereka bukan sahaja akan belajar berkongsi mainan, tetapi juga perbualan dan snek. Mereka diajar untuk mengambil giliran, melibatkan orang lain dalam permainan dan belajar ‘tatatertib’ bermain apabila berdepan dengan situasi baru. Di samping itu, mereka juga akan belajar mengawal perasaan dan mengelak daripada emosi yang kurang elok. Prasekolah juga merupakan masa bagi kanak-kanak mempelajari nilai-nilai moral untuk membentuk perwatakan yang baik.

Tahukah anda?
Bermain adalah sebahagian penting proses pembelajaran bagi kanak-kanak. Ini membolehkan mereka menggunakan kemahiran dan belajar tentang konsep baru dengan menyentuh, merasa, mendengar, bercakap dan menghidu. Cara terbaik untuk menggalakkan si manja prasekolah belajar ialah dengan menggabungkan permainan dengan unsur akademik.

Pelajaran Dalam Pembelajaran  
Cara terbaik untuk si manja belajar ialah dalam persekitaran rumah yang menggalakkan penerokaan, pemikiran kreatif dan kebebasan. Ciri-ciri ini membolehkan kanak-kanak untuk menyiasat dan melakukan tugas yang mencabar daya fikir. Ini merupakan rahsia pencapaian dalam sekolah dan untuk seterusnya.

Proses mempelajari tentang cara sesuatu benda berfungsi adalah perjalanan yang perlu dilalui oleh si manja sendiri. Kehadiran orang dewasa sekadar untuk menggalakkan, mencabar dan membantu perkembangan mereka.

Manfaat Proses Pembelajaran Awal
Minat untuk menimba pengetahuan disemai melalui keyakinan dan kebebasan dalam pembelajaran. Sifat ingin tahu dalam diri si manja menggalakkan penerokaan dan penghargaan pengetahuan. Sikap yang betul untuk bertanya soalan, menyelesaikan masalah dan berkongsi idea. Pembelajaran menjadi pengalaman yang menyeronokkan.

Bagaimana Anda Boleh Membantu Sebagai Ibu Bapa

Kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran pembelajaran yang baik di rumah membolehkan mereka maju dalam prasekolah. Berikut adalah tip-tip untuk anda.

Berkongsi minat anda sendiri untuk belajar
Anda merupakan guru pertama anak anda. Jika anda mahu dia belajar, anda perlu terlebih dahulu mengambil inisiatif untuk belajar dan dia akan mengikut jejak anda.

Beri sokongan dan penerimaan

Bila anda menggalak dan mengalu-alukan ideanya, si manja akan merasa cukup selesa untuk menyuarakan idea tanpa takut membuat kesilapan. Jika dia membuat kesilapan sekalipun, anda tidak perlu memarahinya atau memberi jawapan yang betul dengan serta-merta. Sebaliknya, gunakan peluang itu untuk mengajarnya mencari jawapan. Ini menggalakkan pembelajaran secara lebih berdikari pada masa hadapan.

Sediakan peluang pembelajaran
Pengalaman pembelajaran boleh didapati daripada buku, alat permainan dan barang lain yang terdapat dalam rumah. Bersiar-siar dan berbual-bual juga akan menambah perspektif dan pemahaman si manja. Berhati-hati agar anda tidak keterlaluan. Pastikan segalanya berada dalam tahap yang sesuai untuk usia mereka.

Senarai semak apa yang anda
boleh lakukan sebagai ibu bapa  
Tanya soalan yang baik dan jangan bataskan soalannya.
Tunjukkan bagaimana kita boleh belajar daripada perkara yang mudah dan kesilapan kecil.
Galakkan si manja berdikari.
Beri pilihan kepada si manja.
Beri perhatian kepada persekitaran sekelilingnya.
Jadikan waktu membaca sebagai rutin tetap.

Sihat untuk Belajar  
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat beberapa langkah oleh pihak Kerajaan untuk mengubah sistem pendidikan negara kita. Daripada hanya menitikberatkan kemahiran ingatan untuk lulus peperiksaan, kita inginkan anak-anak kita berkembang secara lebih sempurna. Kita mahukan mereka mempunyai pemikiran yang baik, kreatif dan berkebolehan untuk menyelesaikan masalah di samping mempunyai tubuh, minda dan jiwa yang sihat.

Sebagai ibu bapa, kita semua boleh membantu dengan menanam serta menggalakkan minat membaca dan belajar anak-anak kita daripada usia yang muda dan sepanjang zaman kanak-kanak mereka.

Pada masa yang sama juga, adalah penting bagi kita untuk menjaga mereka dengan sebaik mungkin supaya mereka dapat terus belajar dengan gangguan minimum. Kekurangan nutrien, anemia, jangkitan, kecederaan, masalah psikologi dan kesukaran pembelajaran yang belum ditangani akan menghalang perkembangan mereka. Berita baiknya, kuasa untuk mencegah situasi negatif ini adalah di tangan anda dengan mengetahui lebih lanjut dalam keluaran Positive Parenting kali ini.
 

Monday, May 2, 2011

Memupuk Minat Kanak-kanak Belajar Bahasa Inggeris

Oleh Mohd Al Qayum Azizi
Mingguan MStar, Ahad 20 Mac 2011

source: sxc.hu

Hasrat untuk melihat kanak-kanak di usia awal mampu menguasai bahan bacaan dalam bahasa Inggeris terutamanya kanak-kanak kurang bernasib baik mendorong Pengarah Urusan Jamu Mak Dara, Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali terpanggil untuk membantu mereka.

Mendapat peluang bekerjasama dengan Ayu Manja Sdn Bhd, sebuah syarikat yang khusus kepada pendidikan awal kanak-kanak, usaha tersebut bertujuan untuk memastikan kanak-kanak kurang bernasib baik di 18 buah rumah kebajikan di seluruh negara mendapat peluang dan ruang untuk memperolehi ilmu pengetahuan bagi mencerahkan masa depan mereka.

Program "Hooked On Books" ini juga adalah sebagai salah satu projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kedua-dua syarikat yang mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam memilih rumah kebajikan untuk program itu.

Syed Muhammad Gadaffi yang ditemui pada majlis penyampaian bantuan buku bahasa Inggeris dan alat bantuan pembelajaran di Hotel Royale Bintang baru-baru ini berkata, pihaknya menyambut baik pelawaan syarikat Ayu Manja yang hadir dengan idea itu dan bersetuju untuk membiayai program itu kerana ingin melihat kanak-kanak yang kurang bernasib baik mendapat peluang sama seperti kanak-kanak lain.

"Saya sendiri pernah hidup susah dan hanya bergantung kepada pembelajaran di sekolah. Jadi saya ingin memberi sesuatu kepada kanak-kanak ini supaya mereka boleh memperkembangkan kebolehan mereka dalam menguasai bahasa Inggeris," katanya yang turut menyerahkan replika cek berjumlah RM80,000 kepada pihak Ayu Manja bagi menjayakan program itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Ayu Manja, Datin Radziah M Daud berkata, pihaknya akan memberi fokus kepada program literasi dari usia 0-9 tahun dan percaya kanak-kanak yang dididik sedari awal berupaya mencapai potensi dalam hidup mereka.

Selain itu juga katanya, pihaknya akan memberikan latihan kepada tenaga kerja dan pengendali rumah kebajikan serta memantau kemajuan program ini dari semasa ke semasa.

"Pihak JKM yang mengendalikan rumah kebajikan dan perlindungan telah memberikan asas kepada pembentukan kanak-kanak ini. Tetapi dengan keupayaan yang kami ada, pendedahan yang lebih akan diberikan kepada mereka melalui program ini."

"InsyaAllah dengan pengalaman selama 26 tahun dalam pendidikan awal kanak-kanak, kami percaya dapat memupuk minat kanak-kanak ini melalui kaedah yang betul seterusnya mencapai matlamat program," katanya.

Radziah juga berharap akan ada lebih ramai syarikat korporat menyertai program ini pada masa akan datang bagi memberi sinar kepada lebih ramai kanak-kanak untuk mencapai potensi diri selain menekankan aspek pembelajaran bahasa dalam diri mereka.

Bagi pihak yang berminat untuk menyertai program ini, boleh menghubungi Ayu Manja di talian 03-7728 4070 atau email di ayumanja@tm.net.my.